Monday, December 15, 2008

Bengkel memasak cungkil bakat belia perempuan

TUTONG, Ahad - Bagi memberi galakan kepada golongan belia untuk menceburkan diri dalam bidang masakan dan mencipta resipi makanan mereka yang tersendiri, Jabatan Belia Dan Sukan cawangan Daerah Tutong hari ini mengadakan pertandingan masakan di Pusat Belia.

Seramai empat kumpulan belia perempuan mengikuti pertandingan tersebut terdiri daripada penuntut-penuntut, pencari pekerjaan dan suri rumah tangga berumur antara 15 hingga 25 tahun.

Hadir di majlis berkenaan ialah pengetua Pusat Pembangunan Belia, Hajah Fatimah Haji Mohd Salleh. Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan ketua cawangan Belia Dan Sukan Tutong, Haji Mohammad Rosfazilah Haji Yusly.

Beliau dalam ucapannya berharap dengan adanya pertandingan seumpama ini akan dapat mengasuh bakat memasak peserta dan berharap pertandingan seperti ini akan dapat membuka minda mereka untuk berdaya maju di masa akan datang.

Seterusnya Hajah Fatimah berkesudian menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang mana Kumpulan Salurut memenangi keseluruhan pertandingan manakala naib juara ialah Kumpulan Kusui dan Kumpulan Tapai di tempat ketiga serta tempat keempat Kumpulan Putu Mayang.

Hajah Fatimah kemudiannya menyaksikan hidangan dan masakan yang dipertandingkan oleh peserta. Antara jenis masakan yang dipertandingkan ialah masakan Cina, Barat dan Melayu serta menggubah buah-buahan sebagai hiasan meja.

Program Sehari Bersama Belia Daerah Tutong 2008

TUTONG, Jumaat, 31 Oktober 2008. - Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong (JBDSCT) dengan kerjasama Belia-belia Daerah Tutong menganjurkan Program Sehari Bersama Belia Daerah Tutong berlangsung di Dewan Serbaguna Serambangun di sini.

Menurut Pengerusi majlis, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly yang juga Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Daerah Tutong semasa memberi ucapan alu-aluan menjelaskan program ini adalah merupakan salah satu usaha JBDSCT untuk menyatukan atau mengumpulkan belia-belia di daerah ini bagi sama-sama berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai dengan isu-isu yang berkaitan dengan belia hari ini, umpamanya seperti berbincang-bincang mengenai dengan penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi, meningkatnya isu-isu pengangguran dikalangan belia dan sebagainya.

Selain itu katanya, program ini juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada belia-belia khususnya yang ada di daerah ini yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan program-program belia yang telah dianjurkan oleh JBDSCT.

Beliau berharap program tersebut akan membolehkan JBDSCT mendapat gambaran sebenar kehendak-kehendak belia-belia dan apa pun yang disuarakan oleh mereka yang berkonsepkan pembangunan jati diri akan diaplikasikan ke dalam program atau kegiatan belia yang akan dianjurkan oleh pihak jabatannya.

Antara atur cara program tersebut ialah persembahan pentas oleh belia-belia Daerah Tutong seperti tarian dan nyanyian. Hadir pada majlis itu, pemimpin-pemimpin persatuan-persatuan di Daerah Tutong.