Tuesday, September 30, 2008

Bengkel Komanwel Asia Serantau `Belia Dan Pentadbiran Tempatan (NGO’s)' yang berlangsung pada 10 – 14 Jun, 2008, Chandigarh, INDIA

Golongan belia adalah generasi harapan bangsa dan negara untuk masa kini dan masa akan datang. Mereka adalah pewaris kepimpinan dan pembangunan dalam merealisasikan matlamat negara dalam apa jua aspek yang boleh menyumbang kepada bangsa, ugama dan negara. Justeru, kerajaan telah memberi perhatian khusus kepada golongan belia agar mereka berupaya tampil sebagai individu yang cemerlang dengan memberikan pendidikan yang terbaik serta kemudahan-kemudahan yang khusus semata-mata untuk pembangunan belia itu sendiri. Baru-baru ini iaitu pada 10 hingga 14 jun 2008 satu bengkel belia telah diadakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan, India dengan kerjasama Pusat Program Belia Komanwel Asia bertempat di Chandigarh, India.

Bengkel yang berlangsung selama 5 hari itu adalah antara lain bertujuan untuk meningkatkan potensi dan perkembangan pembangunan para belia di rantau ini. Selain itu bengkel tersebut juga bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai dengan perkembangan pentadbiran tempatan iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) yang merangkumi struktur organisasi, fungsi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Negara masing-masing.

Sebanyak 7 buah Negara-negara Komanwel Asia Tenggara telah menyertai bengkel berkenaan yang terdiri daripada Bangladesh, Brunei Darussalam, India, Malaysia, Maldives, Singapura dan Sri Langka.Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh kakitangan dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan iaitu Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan selaku Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Daerah Tutong, Awg Haji Mohamad Rosfazilah Haji Yusly dan Pekerja Belia dan Sukan Tingkat I, Pengiran Haji Norhalim Pengiran Haji Abdul Rahman.

Bengkel yang diadakan selama lima hari itu telah membincangkan mengenai dengan isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan para belia hari ini umpamanya penglibatan belia dalam jenayah, kurangnya penglibatan belia wanita dalam mana-mana petubuhan-petubuhan belia, kekurangan pelajar lelaki dalam institusi-institusi pendidikan tinggi, kurangnya penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi dan meningkatnya isu pengangguran dikalangan belia.Hasil daripada bengkel itu, satu resolusi cadangan telah dibentuk berhubung dengan permasalahan yang diutarakan oleh para perwakilan dari Negara-negara Komanwel Asia Tenggara itu, antaranya ialah mewujudkan program latihan kemahiran sepertimana yang telah dilakukan oleh Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia pada masa ini. Dengan adanya program latihan seumpama ini sekurang-kurangnya akan dapat meningkatkan kemahiran dan pembangunan diri para belia khususnya belia-belia yang menganggur disamping mendapat khidmat nasihat dari pakar-pakar.

Program latihan kemahiran ini juga dapat memberi peluang kepada para belia untuk menimba pengalaman sebelum membuka perusahaan dan juga sebagai galakan kepada para belia untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan serta sekaligus dapat memantapkan pertumbuhan ekonomi Negara masing-masing.

Selain mencadangkan penubuhan program latihan kemahiran, satu program yang berfungsi sebagai pembina jati diri belia juga perlu ditubuhkan bagi tujuan untuk menanamkan nilai-nilai sosial yang murni dan positif kepada para belia sepertimana yang ditubuhkan oleh Malaysia iaitu Program Khidmat Negara. Program ini secara umumnya merupakan kursus latihan yang merangkumi berbagai-bagai aspek sama ada sosial, ekonomi mahupun politik yang dibukakan kepada para belia yang baru menamatkan persekolahan. Ianya berfungsi untuk membina sahsiah diri yang bermatlamatkan pembinaan dan pengukuhan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni mengikut dasar negara masing-masing.

Selain itu, penubuhan parlimen belia juga turut dicadangkan bagi tujuan untuk mendengar suara atau pendapat belia dalam sama-sama memberikan sumbangan untuk pembangunan dan perkembangan negara. Disamping itu, bengkel itu juga membincangkan peranan dan penyertaan golongan belia dalam NGO’s iaitu dari segi perancangan dan pembangunan bermula dari peringkat kampong membawa kepada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Sebagai kesimpulannya, hasil dari pada bengkel itu, kami telah mendapat beberapa pengalaman dan ilmu baru berhubung dengan hal ehwal kebeliaan sama ada dari segi pengurusan belia, aktiviti belia dan penglibatan belia. Kami jua telah banyak meluangkan masa dengan para perwakilan khusus membincangkan isu-isu semasa yang telah dihadapi para belia. Selain itu kami juga sempat bertukar-tukar pendapat dengan mengongsikan pendapat masing-masing berdasarkan perkembangan belia di negara masing-masing.Jadi secara umumnya, jika diamat-amati atau dibanding-bandingkan penglibatan para belia di Negara Brunei Darussalam dalam NGO’s boleh dikatakan positif terutama dari segi penyertaan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan kerana segala pergerakan NGO’s di negara Brunei Darussalam telah dipantau oleh kerajaan disamping diberi bantuan semata-mata untuk memperkasa potensi para belia yang dikatakan sebagai pemimpin negara pada masa akan datang.

No comments: