Friday, January 23, 2009

Penyertaan baru Skim Sukan Remaja Tutong

Oleh Salawati Haji Yahya (Media Permata)

TUTONG, Isnin - Sesuai dengan misi Jabatan Belia dan Sukan iaitu Mewujudkan dan Membangun Masyarakat Brunei Ke Arah Kecemerlangan Melalui Program Belia dan Sukan, jabatan berkenaan bagi cawangan daerah ini hari ini membukakan penyertaan baru bagi kemasukan peserta Skim Sukan Remaja Tutong sesi 2009.

Menurut Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Daerah Tutong, Haji Mohd Rosfazilah Haji Yusly ketika dalam ditemui temu, "kemasukan peserta Skim Sukan Remaja Daerah Tutong 2009 ini bertujuan melahirkan atlet muda untuk dijadikan pelapis atlet kebangsaan bagi menyertai kejohanan sama ada dalam mahu pun luar negara.

"Selain itu, ia juga untuk mendidik dan memberi pengetahuan kepada remaja khususnya di daerah ini mengenai pendidikan sukan dalam meningkatkan kemahiran dan kecemerlangan remaja melalui aktiviti sukan di semua peringkat termasuk antarabangsa" jelasnya.

Beliau berharap dengan adanya kemudahan sukan seumpama ini yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong ini akan dapat melahirkan remaja yang sihat dan cergas sama ada dari segi fizikal, mental mahupun spiritual bagi menggalakkan peningkatan produktiviti mereka kepada negara.

Lapan jenis skim sukan dibukakan kepada remaja tahun ini melibatkan bola sepak, futsal, silat, sepak takraw, bola jaring, badminton, karate-do dan olahraga.

Sehubungan itu, remaja yang berminat mengikuti skim berkenaan boleh berkunjung ke bahagian penyambut tetamu Kompleks Sukan Tutong untuk mengisi borang penyertaan. Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong di talian 4260118.

No comments: